Wednesday 21 January 2015

Kebebasan Bersuara,Charlie Habdo dan Kerangka Islam





Mutakhir ini,laungan suara-suara yang menuntut hak kebebasan bersuara dan hak asasi setiap individu semakin kuat kedengaran dan termuat di dada-dada akhbar,laman sosial dan penulisan.Suara-suara sumbang ini seringkali memberikan perlindungan atau 'back-up' kepada mana-mana pihak yang melakukan sesuatu jenayah dari segi percakapan,penulisan dan lukisan,dengan alasan mereka berhak atas HAK KEBEBASAN BERSUARA!

Benarkah sampai sedemikian rupa hak itu boleh digunakan? Atas alasan ini,kita dibenarkan menghina mana-mana pihak? Kita dibenarkan menipu,mengumpat,mengutuk,mengeluarkan kata-kata prejudis dan provokatif? Kita dibenarkan mencarut dan mengeluarkan kata-kata kesat? Masih layakkah perbuatan-perbuatan sedemikian dinamakan HAK? Atau lebih kepada EKSPLOITASI perkataan KEBEBASAN itu sendiri? Hakikatnya tiada lagi hak apabila seseorang menggunakan haknya untuk mencabul hak orang lain.Hakikatnya kalimah kebebasan itu dieksploitasi oleh ramai pihak untuk menyokong jenayah yang mereka lakukan dari sudut perkataan,lukisan dan penulisan.

Barat dan Hipokrasi

Melihat kepada isu Charlie Habdo,sebuah syarikat akhbar di Paris yang menghina baginda SAW dengan lukisan karikaturnya baru-baru ini,ia bukan lah suatu isu baru.Pada tahun 2005 yang lepas,syarikat akhbar yang berpusat di Denmark bernama Jyllands-Posten telah pun menimbulkan isu dengan lukisan karikatur yang menghina baginda SAW.Semuanya dipertahankan atas nama kebebasan bersuara.Mengaibkan agama lain,menghina agama lain adalah OK bagi mereka.

Ini dengan jelas menunjukkan kepada kita,disebalik tamadun barat yang sarat dengan kemajuan dan pembangunan,mereka sebenarnya tidak mempunyai prinsip dan asas yang jelas untuk dipegang.Prinsip dan asas mereka telah 'corrupted' dan rosak.Hal inilah yang telah melahirkan banyak dikalangan pemimpin dan masyarakat barat yang hipokrit.Apabila sebahagian manusia mengutuk dan mengecam Yahudi,mereka berkata itu ialah racisme.Penghinaan itu bersifat 'anti-semitic'.Tidak pula mereka mengatakan,itu ialah kebebasan bersuara dan orang berhak bersuara untuk mengutuk sesiapa pun termasuk yahudi.Tidak pula begitu.

Apa yang lebih melucukan ialah,pasca kejadian bangunan syarikat Charlie Habdo diserang oleh sekelompok individu,Perdana Menteri negara haram Israel,Benjamin Netanyahu turun padang ke Paris dan pergi ke tempat kejadian bagi menunjukkan solidariti dan kebersamaan beliau bersama sebahagian masyarakat Paris yang mengutuk serangan tersebut.Walhal jutaan nyawa yang tidak bersalah di Gaza dan Tebing Barat dibunuh oleh beliau dan kuncu-kuncunya dengan alasan menentang keganasan.Lihatlah betapa hipokritnya mereka ini!

Ya,kita mengutuk dan mengecam sama sekali tindakan akhbar tersebut yang menghina junjungan besar baginda SAW.Namun,tindakan yang agresif dan bersifat emosional tidak akan membawa keadaan ke arah yang lebih baik.Membunuh dan mencederakan pihak-pihak yang terbabit dalam penerbitan lukisan karikatur tersebut bukanlah solusi yang terbaik buat masa ini.Andai mereka memperjuangkan kebebasan bersuara,maka selayaknya hal ini kita perlu bersuara.Bersemuka dengan dialog,berhujah dengan hikmah dan jelas,menerangkan dengan tegas tentang adab dan akhlak kita beragama adalah beberapa cara daripada berpuluh kaedah lain yang mungkin lebih berkesan dalam menangani masalah ini.

Bagaimana Islam menerima hak kebebasan bersuara?

Islam sememangnya agama yang meraikan dialog dan hujah,pertanyaan dan soal jawab.Dewasa kini,kita melihat satu gelombang dan aura anak-anak muda yang sudah berani bertanyakan dalil dan hujah apabila ada suatu permasalahan agama atau hukum yang kurang jelas apabila para ustaz atau ustazah menyampaikan kuliah mahupun ceramah.

Ini satu arus yang baik sebenarnya.Masyarakat tidak lagi hanya mengamalkan sikap 'taqlid' dalam beragama,sebaliknya mengutamakan hujah dan dalil dalam setiap hal agama.Hal ini akan mengelakkan mereka daripada beramal dengan perkara-perkara yang tidak terdapat dalil atau hujah dalam agama,dan mengenalpasti sumber dalil dan kesohihan dalil yang dikemukakan kepada mereka.Bersikap kritis dan analisis akan melahirkan orang-orang muda yang dalam pemikirannya serta dapat membuat penilaian yang lebih tepat dan hebat.

Adalah menjadi suatu kedangkalan dalam agama apabila ada sesetengah pihak,bahkan gerakan islam itu sendiri yang melarang pengikut-pengikutnya untuk bertanyakan sesuatu yang mereka kurang jelas mengenai tindakan dan perjalanan gerakan tersebut yang dipimpin oleh ketua atau pemimpin atasan.Mereka berasalankan bahawa pemimpin atasan lebih mengetahui apa yang mereka lakukan dan lebih berpandangan jauh dalam tindakan.Maka pengikut-pengikut bawahan disuruh hanya mengikut sahaja atau taqlid buta tanpa perlu mempersoalkan tindakan tersebut.Ini adalah suatu doktrin yang bahaya dalam gerakan islam masa kini.Anak muda hari ini inginkan satu wacana baharu yang memberi peluang dan ruang untuk mereka bersoal jawab dan mengemukakan pandangan dalam sesuatu hal.

Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW itu sendiri yang meraikan pelbagai pertanyaan daripada para sahabat dan masyarakat sekeliling,sehinggalah arab badwi yang duduk di penghujung kampung.Baginda juga meraikan dialog dan soal jawab dengan golongan bukan islam seperti musyrikin Quraish,rombongan nasrani/kristian yang datang ke masjid untuk berjumpa nabi,begitu juga kaum Yahudi yang banyak berdialog dengan nabi berkenaan agama.Banyak hadis dan sirah yang menceritakan tentang hal ini.

Begitu juga para sahabat seperti Saidina Abu Bakar dan Umar al-Khattab.Ketika Abu bakar dilantik menjadi khalifah,khutbah pertama yang diucapkan olehnya ialah:

"Wahai manusia,sesungguhnya aku telah dilantik (menjadi pemimpin kamu) dan aku bukanlah yang terbaik di kalangan kamu.Jika aku berlaku adil,maka bantulah aku,dan jika aku tersilap laku,maka luruskan diriku.Kebenaran adalah amanah dan penipuan adalah pengkhianatan.Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisiku sehingga aku menunaikan amanah kepadanya.Orang yang kuat di kalangan kamu pula adalah lemah di sisiku sehingga aku mengambil hak daripadanya.Dengan izin Allah,tidaklah sesuatu kaum itu meninggalkan jihad kecuali Allah akan memberikan kehinaan terhadap mereka,dan tidaklah berleluasa kemaksiatan pada sesuatu kaum kecuali Allah akan menimpakan bala ke atas mereka.Taatilah aku selagi mana aku taatkan Allah dan RasulNya,dan jika aku menderhakai Allah,maka tiada lagi ketaatan kepadaku." (al-Suyuthi,1997:1/27)

Begitu juga ketika Umar al-Khattab dilantik menjadi khalifah,beliau telah berkhutbah:

"Jika kamu nampak kebengkokan pada diriku,maka tegakkanlah ia." (al-Tabari,t.t:5/26.)


Lihatlah bagaimana Rasulullah dan para sahabat bersikap terbuka dalam menerima dan memberikan teguran,kritikan dan nasihat.Semua ini menunjukkan kepada kita bahawa Islam meraikan hak bersuara oleh setiap individu dengan adab dan akhlak yang tertentu.Tidak kira rakyat atau pemimpin,tua atau muda,kaya atau miskin,keturunan atau warna kulit,semua bebas untuk mengemukakan pandangan dan pendapat dengan batasannya yang tertentu serta penuh akhlak.


Batasan syariat dalam bersuara

Kebebasan bersuara dan mengemukakan pandangan bukanlah boleh dieksploitasi secara semberono oleh manusia bagi melakukan sesuatu yang melangkaui batasan.Syariat telah menggariskan batas-batas tertentu dalam bersuara dan bercakap.Lisan kita amat perlu dijaga dan digunakan dengan betul agar tidak terbabas dalam mengatakan sesuatu yang batil atau menghina.Seringkali dalam keadaan tertentu,diam itu lebih baik daripada berkata sesuatu yang dibimbangi akan membawa dosa dan persengketaan.Hal ini bertepatan dengan apa yang Rasulullah ajarkan kepada kita.

Rasulullah SAW telah bersabda:

"Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat,hendaklah dia berkata yang baik-baik ataupun berdiam diri sahaja." (HR Bukhari)

Begitu juga dalam hal penjagaan lisan,Rasulullah SAW telah bersabda:

"Wahai Muadh,berapa ramai orang yang dihumbankan wajah mereka (masuk) ke dalam neraka kerana hasil usaha lidah mereka?" (HR Tirmizi)

Kebebasan bersuara tidak mengizinkan kita untuk mengumpat,menghina,mengutuk mahupun melakukan apa-apa jenayah lisan yang boleh menyerang peribadi seseorang.

Hal ini selaras dengan apa yang Allah firmankan dalam surah al-Hujuraat ayat 11-12:

"Hai orang-orang yang beriman janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain (karena) boleh jadi mereka (yang diolok-olok) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olok) dan jangan pula wanita-wanita (mengolok-olok) wanita-wanita lain (karena) boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari wanita (yang mengolok-olok) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertobat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (11)

"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima tobat lagi Maha Penyayang." (12)

Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : لاَ تَحَاسَدُوا وَلاَ تَنَاجَشُوا وَلاَ تَبَاغَضُوا وَلاَ تَدَابَرُوا وَلاَ يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَكُوْنُوا عِبَادَ اللهِ إِخْوَاناً. الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يَخْذُلُهُ وَلاَ يَكْذِبُهُ وَلاَ يَحْقِرُهُ. التَّقْوَى هَهُنَا –وَيُشِيْرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ – بِحَسَبِ امْرِئٍ مِنَ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ، كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ

Terjemah hadith / ترجمة الحديث :

Dari Abu Hurairah radhiallahuanhu berkata: Rasulullah shallallahu`alaihi wa sallam bersabda: “Janganlah kalian saling dengki, saling menipu, saling marah dan saling memutuskan hubungan. Dan janganlah kalian menjual sesuatu yang telah dijual kepada orang lain. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lainnya, (dia) tidak menzaliminya dan mengabaikannya, tidak mendustakannya dan tidak menghinanya. Taqwa itu disini(seraya menunjuk dadanya sebanyak tiga kali). Cukuplah seorang muslim dikatakan buruk jika dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap muslim atas muslim yang lain; haram darahnya, hartanya dan kehormatannya.” (HR Muslim)
Sebenarnya banyak lagi dalil yang boleh dikemukakan mengenai perlunya kita bebas untuk bersuara dan mengemukakan pandangan.Begitu juga dalil-dalil yang menerangkan batasan-batasan syariat dalam kita bertutur kata dan bersuara,yang bersumberkan al-Quran,hadis dan amalan para sahabat.Sahabat-sahabat semua bolehlah membuat kajian dan pencarian sendiri tentang ini.Ini hanyalah nukilan ringkas dari saya,mudah-mudahan ia memberi sedikit pencerahan dan gambaran tentang isu semasa dan bagaimana reaksi dan tindakan kita sebagai seseorang yang bergelar muslim.
Akhir kata,maaf andai ada salah silap dalam penulisan ini.Silalah berikan teguran dan nasihat untuk memperbaiki lagi kelemahan dan kekurangan yang terdapat dalam perkongsian saya kali ini.Diharap amalan dan usaha kita ini dalam menyebarkan ilmu diterima Allah.
Wallahua'lam






No comments:

Post a Comment