Sunday 8 February 2015

The Doctor and The Engineer









As-Syahid Dr.Abdul Aziz Ar-Rantissi



Nama sebenar beliau ialah Abdul Aziz Ali Abdul Majid Ar-Rantissi.Dilahirkan pada 23 Oktober 1947 di sebuah kampung bernama Binaa yang terletak antara Asqalan dan Jaffa.Beliau lahir dalam sebuah keluarga yang kuat beragama.Keluarganya dipaksa berhijrah ke Gaza selepas peperangan 1948 dan menetap di khemah pelarian Khan Yunus bersama puluhan ribu pelarian yang lain.Pada masa itu umurnya baru berusia enam bulan.Di perkhemahan itu,beliau membesar bersama 11 orang adik-beradik yang lain,iaitu sembilan lelaki dan dua perempuan.

Beliau memiliki otak yang pintar dan cemerlang dalam pelajaran.Semasa baru berusia enam tahun,beliau sudah memulakan persekolahannya di sebuah sekolah di kawasan perkhemahan itu.Pada usia sebegitu muda,beliau terpaksa bekerja bagi menampung perbelanjaan keluarganya yang besar dan miskin.Mereka hidup di kawasan perkhemahan yang serba daif.

Pada tahun 1965,beliau menamatkan pendidikan menengah dan melanjutkan pelajaran ke Fakulti Perubatan di Universiti Iskandariah,Mesir.Di fakulti itu,beliau lulus dengan cemerlang dan menamatkannya pada tahun 1972.Pada tahun 1976,beliau mengakhiri pelajarannya di peringkat sarjana dalam pengkhususan Pediatrik atau Perubatan Kanak-kanak.Beliau memulakan kerjanya sebagai doktor perubatan di Hospital Nasir,iaitu pusat perubatan utama di kawasan Khan Yunus.

Beliau merupakan bapa kepada enam orang anak,iaitu dua lelaki dan empat perempuan dan mempunyai 10 orang cucu.Beliau mula aktif dengan gerakan dan aktiviti-aktiviti Islam semenjak beliau menuntut di Universiti Iskandariah lagi.Maka tidak hairanlah sekiranya beliau aktif dengan kerja-kerja amal,kebajikan, dan dakwah seawal beliau memulakan perkhidmatan di Khan Yunus.

Antara penglibatan awal beliau ialah sebagai jawatankuasa di peringkat pusat Majma Islami,iaitu sebuah pertubuhan Islam di Gaza,pimpinan Persatuan Doktor-Doktor Arab cawangan Gaza dan juga antara pihak pengurusan Pertubuhan Bulan Sabit Merah Palestin.Beliau juga berkhidmat sebagai pensyarah dalam bidang Perubatan Kanak-kanak dan Biologi di Universiti Islam Gaza bermula pada tahun 1978.

Pada tahun 1983,beliau dipenjarakan buat kali pertama kerana enggan membayar cukai kepada kerajaan Zionis Israel.Pada 5 Januari 1988,beliau dipenjarakan buat kali kedua selama 21 hari atas kesalahan yang sama.Keengganan beliau membayar cukai itu kerana beliau enggan mengiktiraf penjajahan Israel ke atas bumi tercinta Palestin.Ketegasan beliau ini adalah bibit-bibit yang membawa kepada pembentukan keperibadiannya sebagai pemimpin gerakan Islam yang berjaya menggoncang Israel pada masa akan datang.

Bersama rakan-rakan seperjuangan yang membawa aspirasi perjuangan Ikhwan Al-Muslimin,beliau mengasaskan gerakan HAMAS pada tahun 1987.Ini bagi memulakan kembali penentangan bersenjata ke atas Israel yang sudah lama ditinggalkan oleh orang Arab dan kaum Muslimin.Gerakan ini berjaya mencetuskan gerak kerja baru dalam cara penentangan ke atas rejim Zionis.Gelombang Intifadhah yang diilhamkan oleh gerakan HAMAS membawa anak-anak muda Palestin supaya keluar ke jalan-jalan raya bagi bersemuka dengan pihak tentera Zionis.

Pembunuhan tentera Israel dan juga kemusnahan yang kecil berjaya dilakukan oleh HAMAS.Operasi-operasi ketenteraan ke atas konvoi tentera Israel juga menggegarkan keutuhan tentera rejim Zionis buat pertama kali selepas mereka berupaya berehat bertahun-tahun selepas kerajaan-kerajaan Arab mula meletakkan senjata.

Buat kali ketiganya beliau dipenjarakan pada 4 Februari 1988 kerana terlibat dengan HAMAS yang didakwa oleh Israel sebagai tindakan pemberontakan yang subversif.Selepas dua setengah tahun dipenjarakan,akhirnya beliau dibebaskan pada 4 September 1990.Sayangnya,tiga bulan selepas itu beliau dipenjarakan sekali lagi pada 4 Disember 1990 selama setahun.

Walau bagaimanapun,peluang beliau dipenjarakan buat kali keempat ini adalah tuah.Beliau ditempatkan dalam satu sel bersama Syeikh Ahmad Yassin,Bapa perjuangan HAMAS dan juga ikon perjuangan rakyat Palestin.Peluang itu diambil oleh beliau bagi menghafal Al-Quran.Semasa itu jugalah beliau membina replika Masjid Al-Aqsa menggunakan kotak-kotak terbuang yang masih dapat dilihat sehingga kini di meja rumah beliau di bandar Gaza.Di dalam penjara itu jugalah beliau banyak menghasilkan syair-syair perjuangan.Tidak hairanlah selain menjadi ahli politik dan pemimpin HAMAS,beliau juga dikenali sebagai penyair.

Selepas dibebaskan pada hujung 1991,beliau meneruskan aktiviti-aktiviti membebaskan bumi Palestin tanpa mengenal erti putus asa.Usaha rejim Zionis hendak melunturkan semangant dengan memenjarakan beliau tidak berhasil,malah beliau bertambah semangat dan gerakan HAMAS bertambah kuat.Rejim Israel yang mula buntu akhirnya menghalau keluar 400 para pejuang kemerdekaan Palestin yang terdiri daripada para pejuang HAMAS dan gerakan Jihad Islami pada 17 Disember 1992 ke Marja Zuhur di Selatan Lubnan.Pada masa itulah bintang beliau mula menyinar di peringkat antarabangsa apabila menjadi jurucakap para mub'adin atau orang yang diusir bagi berbicara dengan wartawan.Ini kerana kefasihannya dalam bahasa inggeris berbanding rakan-rakan yang lain.

Penonjolan ini mewujudkan hubungan baik antara beliau dengan para wartawan sehingga hari sebelum beliau mati syahid.Beliau sentiasa disenangi oleh wartawan dan pintu apartmennya sentiasa terbuka kepada wartawan dan jurnalis.Ini penting bagi HAMAS memandangkan beliau adalah pemimpin politik bagi gerakan itu manakala Syeikh Ahmad Yassin sebagai pemimpin spiritual mereka.Sekembalinya dari Marja Zuhur ke Gaza,beliau dipenjarakan oleh rejim sehingga tahun 1997.Selepas keluar dari penjara,,dalam tempoh tidak sampai setahun,Pihak Berkuasa PA yang diketuai oleh Yasser Arafat memenjarakan Dr.Ar-Rantissi pada 10 April 1998.Selepas 15 bulan dipenjarakan,akhirnya beliau dibebaskan kerana kematian ibu beliau.Walau bagaimanapun selepas itu,beliau dipenjarakan semula sebanyak tiga kali oleh PA.Beliau dibebaskan buat kali terakhir atas dua sebab:

1.Kerana beliau melancarkan mogok lapar.
2.Selepas jet peluang Israel menyerang para tahanan di penjara milik PA.

Pembebasan kali terakhir itu mengakhiri tempoh 27 bulan beliau dipenjarakan oleh PA.

Pembebasan beliau bagai rahmat apabila Syeikh Ahmad Yassin sebelum itu juga sudah dibebaskan.Dengan gabungan dua ikon perjuangan Palestin ini,gerakan HAMAS bertambah mentap dan mendapat momentum perjuangan yang lebih kuat.Intifadhah gelombang kedua pada penghujung tahun 2000 sebagai bukti kekuatan HAMAS semakin bertambah.

Pada 10 Jun 2003,Israel melancarkan percubaan membunuh Dr.Ar-Rantissi dengan membedil dengan roket yang dilancarkan oleh helikopter Apache.Serangan itu menemui kegagalan apabila Dr.Ar-Rantissi dan anak beliau yang masih kecil berjaya menyelamatkan diri.Namun kereta yang mereka naiki hancur dimamah oleh letupan roket itu.Serangan itu dibalas oleh HAMAS dengan siri serangan-serangan yang menggegarkan hati setiap warga Zionis.

Semasa berada di atas katil hospital,beliau mengatakan:
"Hanya perjuangan bersenjata sahaja yang dapat memerdekakan bumi Palestin kita."
Selepas Syeikh Ahmad Yassin syahid pada 22 March 2004,beliau dilantik menjadi pemimpin HAMAS di wilayah Gaza dan berjanji akan membalas dendam di atas kematian Syeikh Ahmad Yassin.

Pada hari sabtu 17 April 2004,bersama dengan dua orang rakan,beliau kembali ke rahmatullah sebagai syahid menyusul pemergian Syeikh Ahmad Yassin apabila kereta yang beliau naiki dibedil dengan roket dari helikopter Apache oleh pihak rejim Zionis di jalan Al-Jalla di wilayah Gaza.Rejim Israel menyifatkan Dr.Abdul Aziz Ar-Rantissi sebagai seorang pemimpin pengganas dan perlu dihapuskan bagi menjamin keselamatan rakyat Israel dan kedamaian di kawasan itu.Tidak hairanlah dua minggu sebelum peristiwa itu,empat buah helikopter Apache berlegar-legar di ruang udara Gaza bagi mencari Dr.Abdul Aziz Ar-Rantissi.




As-Syahid Yahya Ayyash 


Dilahirkan pada 3 Mac 1966 di Rafah,sebuah bandar Palestin.Semasa zaman kanak-kanaknya,Ayyash telah menerima anugerah daripada badan 'Islamic Trust' kerana kebolehannya menghafal Al-Quran.Beliau juga menampakkan bakat dalam kerja-kerja elektrik dan mekanikal seperti membaiki radio dan televisyen.Ayyash menamatkan persekolahannya di Rafah pada 1985 yang membolehkannya menyambung pelajaran ke Universiti Bir Zeit  pada tahun 1987.Seterusnya,beliau menerima ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Elektirk pada tahun 1988.

Ayyash dibesarkan dalam keluarga yang kaya dan berada.Beliau mempunyai dua orang anak lelaki hasil daripada perkahwinannya.Salah seorang daripada anak beliau bernama Baraa.Walaupun berasal daripada keluarga yang kaya,namun orang mengenalinya sebagai seorang individu yang sederhana dan amat menyayangi keluarga,jiran tetangga dan tanahairnya.Beliau juga mempunyai peribadi rendah diri dan bersedia memberi bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya.

Beliau adalah pahlawan dan wira bagi anak muda Palestin.Dalam usianya yang masih muda,beliau muncul sebagai pemimpin sayap komando HAMAS dan pakar bom yang dapat menghasilkan impak yang kuat daripada bahan-bahan kimia yang mudah diperoleh dan ubat-ubatan sahaja.Tidak hairan anak muda graduan fakulti Kejuruteraan Elektronik ini digelar sebagai The Engineer.Lebih menarik lagi,beliau melatih lebih 200 kader-kader HAMAS supaya menggunakan teknologi ciptaannya bagi menghasilkan bom yang kuat dengan bahan-bahan murah dan mudah didapati.Beliau tersenarai sebagai buruan utama pihak tentera rejim Zionis pada pertengahan 90-an.

Selain penghasilan teknologi baru,beliau juga mencipta kaedah serangan baru ke atas tentera-tentera Israel,iaitu menggunakan kereta yang penuh dengan bom yang dikawal dari jauh.Serangan pertama menggunakan kaedah itu menempa kejayaan pada tahun 1990 apabila satu letupan yang mengorbankan banyak nyawa tentera rejim Israel di bandar Ramaat If'aal.Tahun-tahun berikutnya menyaksikan rejim Israel kehilangan banyak nyawa rakyatnya oleh serangan seumpama itu.

Bagi mengelakkan diri beliau ditangkap oleh perisikan Israel,Yahya Ayyash pernah hidup menyamar sebagai rabbi ortodoks Hasedim,mazhab agama Yahudi selama dua tahun.Walau bagaimanapun,Allah lebih menyayangi beliau.Pada 5 Januari 1996,pihak tentera rejim Israel dengan bantuan ejen mereka daripada kalangan orang Palestin sendiri berjaya membunuh beliau dengan meletupkan telefon bimbitnya.Ia menghancurkan separuh daripada tengkorak kepala beliau.Telefon bimbit miliknya berjaya ditukarkan dengan telefon bimbit yang dilengkapi bom oleh seorang ahli keluarga rakan beliau yang menjadi agen Israel.Beliau syahid dalam umur yang belum mencecah 30 tahun.


Semoga Allah merahmati kedua-dua orang tokoh gerakan Islam HAMAS ini.Mereka telah membuktikan janji dan penyaksian mereka terhadap risalah baginda Nabi SAW dengan menjual jiwa dan harta mereka hanya untuk agama dan ummah kerana Allah.Jasa dan sumbangan mereka akan terpahat abadi dalam sejarah dan akan diulang-ulang dari generasi ke generasi sebagai pembangkit semangat dan motivasi untuk para pejuang ummat dari semasa ke semasa,termasuk juga kita pada hari ini.

Seorang doktor.Seorang engineer.Satu perkara yang menarik yang boleh diambil pelajaran daripada kedua-dua orang tokoh ini ialah,biarpun kita seorang pelajar yang tidak mengambil bidang syariah atau apa-apa yang berkaitan dengan agama,bahkan mengambil pula bidang pengajian akademik sains yang secara umumnya tidak menyentuh aspek keagamaan,ia tidak menjadi penghalang untuk kita menyumbang dan membangunkan ummah dan agama.Kerja-kerja kebajikan,dakwah dan tarbiyyah bukan hanya khusus untuk orang-orang agama,bahkan semua yang bergelar muslim wajib beramal dan menyumbang dalam bidang-bidang yang diceburi,sesuai dengan penjuru masing-masing.

Lihat sahaja kedua-dua tokoh ini,bagaimana seorang doktor mampu menjadi seorang aktivis yang bergerak aktif dalam usaha-usaha membantu rakyat Palestin dalam setiap gerak kerja,sehingga tidak terkira berapa puluh kali beliau dipenjarakan.Begitu juga seorang engineer yang menggunakan kepakaran beliau untuk mencipta bom-bom peledak dari bahan-bahan yang murah,tetapi mampu memberikan impak yang besar dan hasil yang berkualiti dalam memusnahkan musuh.

Hakikatnya setiap orang perlu dan mampu menyumbang untuk ummah melalui penjuru masing-masing.Yang menjadi persoalannya ialah,samada kita ingin memberikan jiwa,harta dan tenaga kita untuk pembangunan ummah atau imarah ini,atau kita sengaja mencari alasan mahu mengelak daripada terlibat dengan kerja-kerja imarah ini.Hanya tumpu kepada akademik dan ijazah,tetapi tidak bernilai di mata ummat mahupun masyarakat.

Semoga kita mendapat ibrah yang besar daripada kisah kedua-dua tokoh ini.Kita pohon agar Allah memberikan taufik kepada kita untuk melakukan kerja dakwah dan tarbiyyah,tanpa mengabaikan penglibatan akademik sebagai seorang pelajar.


Thursday 29 January 2015

Antara Keterlibatan Politik dan Parti



Seringkali apabila berbicara tentang politik,perkara yang pertama sekali terlintas di fikiran kebanyakan masyarakat kita hari ini ialah bendera parti,pilihanraya,demokrasi,aktiviti mengundi,kempen-kempen dan ceramah parti tertentu dan sewaktu dengannya.Dalam pemahaman konvensional mengenai keterlibatan politik ataupun penyertaan politik,perbincangan majoriti masyarakat kita hanyalah berkisar mengenai ruang rakyat untuk bersuara,mempengaruhi polisi pihak berkuasa,keterlibatan rakyat dalam memilih wakil mereka untuk memerintah negara dan juga kemampuan rakyat untuk melakukan akauntabiliti terhadap wakil-wakil yang telah mereka pilih.

Sebenarnya,pemahaman keterlibatan politik membawa maksud yang lebih luas.Keterlibatan politik tidak boleh disempitkan hanya pada aktiviti mengundi,berkempen dan menghadiri ceramah-ceramah politik sahaja.Keterlibatan politik mempunyai kerangkanya yang lebih menyeluruh lagi komprehensif.Di bawah kerangka tauhid,segala penyertaan politik untuk membangunkan masyarakat dan negara juga diiktiraf sebagai amal soleh.


Politik sebahagian dari hidup kita

Sebelum kita pergi lebih jauh,cuba kita tanya diri kita terlebih dahulu..

Apakah itu politik? Adakah pemahaman aku terhadap politik selama ini tepat? Perlukah aku ambil tahu dan terlibat dengan politik dalam kehidupan aku?

Politik secara literalnya bermaksud ilmu mengenai cara mengurus tadbir manusia,masyarakat dan negara.Seseorang yang terlibat dalam gerak kerja bermasyarakat,mengurus hal ehwal masyarakat tetangga,melakukan kerja-kerja kebajikan,melakukan amar maa'ruf nahi munkar,menyatukan masyarakat di sesebuah kawasan tidak mengira bangsa dan keturunan,bukankah itu termasuk dalam mengurus tadbir manusia dan masyarakat? Bukankah orang itu telah terlibat dalam gerak kerja politik?

Ya.

Seandainya kita seorang muslim,maka tidak mungkin untuk kita memisahkan kehidupan kita daripada keterlibatan politik.

Saya seringkali kedengaran sejak kebelakangan ini suara-suara sumbang yang menyatakan politik dan islam tidak boleh disatukan.Politik mesti dipisahkan daripada agama untuk menjaga agama itu sendiri.Saya tidak pelik dan hairan kerana suatu ketika dulu saya juga mempunyai ideologi dan fikrah sedemikian.Disebabkan apabila melihat ramai orang-orang yang berkepentingan di dalam parti-parti tertentu menggunakan nas-nas mahupun dalil-dalil agama untuk mempertahankan tindakan mereka,seolah-olah apabila mereke mula menggunakan dalil-dalil agama,mereka tidak boleh dikritik dan disangkal lagi!

Maka mulalah pihak di sebelah sini melontarkan hujah agama dan dalil-dalil untuk menjustifikasikan tindakan mereka.Tidak terhenti di situ,pihak di sebelah sana pula dengan ustaz dan ulama' mereka tersendiri pula ibarat telah bersiap sedia dengan senjata-senjata dalil dan nas bagi membantah tindakan pihak lawan mereka dan mematahkan hujah mereka.Agama menjadi murah dan rosak apabila pihak-pihak sebegini menggunakan ia sebagai senjata politik.

Lewat suasana sebegini,maka lahir anak-anak muda yang kecewa dengan dunia politik yang memperalatkan agama dan saling menjatuhkan antara satu sama lain.Maka mereka membuat konklusi,bahawa POLITIK DAN AGAMA TIDAK BOLEH DISATUKAN!


Tanggungjawab Seorang Muslim

Berbalik kepada hakikat penciptaan seorang insan,apakah tujuan kita diciptakan di muka bumi ini?
Tidak lain dan tidak bukan ialah untuk beribadah kepada Allah (adz-Dzariyat:56) dan menjadi seorang khalifah untuk mentadbir muka bumi berlandaskan syariat.(al-Baqarah:30).

Dalam erti kata mudah,seorang insan diciptakan untuk IBADAH dan IMARAH,
Ibadah dalam erti kata kita perlu mengabdikan diri hanya kepada Allah
Imarah dalam erti kata kita perlu memakmurkan dan membangunkan dunia serta mengelakkan kemusnahan terhadapnya.Atas misi inilah,menurut Islam,para Nabi dan Rasul diutuskan kepada manusia agar sentiasa diperingatkan mengenai tugas mereka.

Seorang muslim secara semulajadinya merupakan seorang warga politik.Mereka dilahirkan untuk menjayakan misi keadilan,keamanan dan juga mengislahkan muka bumi ini.Tugas ini bukanlah satu pilihan,tetapi satu kewajipan demi menjayakan konserp 'Khalifah' melalui dua tugas utama,iaitu ibadah dan imarah.

Maka,dalam dalil-dalil ditekankan konsep penegakan keadilan,penentangan kezaliman dan penzalim,pengorbanan,keadilan ekonomi,memperjuangkan golongan yang ditindas,menegur dan meruntuhkan tirani,memberikan hak yang adil dan saksama,menyebarluaskan kebaikan,menghindari kejahatan dan kemusnahan dan pelbagai mekanisme yang membawa kepada maksud kesempurnaan hidup manusia.Ringkasnya,hubungan seorang individu Muslim dengan Tuhannya adalah bergantung kepada sejauhmana hubungannya dengan makhluk lain juga.

Politik dan keterlibatan politik merupakan satu kewajipan dalam kehidupan seorang muslim.Tidak ada istilah non-politik dalam kamus hidup seorang muslim.Sepertimana berbuat baik kepada ibu bapa itu wajib,membantu orang fakir itu wajib,menjaga hak jiran tetangga itu wajib,menjauhi riba itu wajib,keterlibatan politik juga merupakan satu kewajipan.Namun,perlu dibezakan antara keterlibatan politik dengan sikap partisan ataupun politik kepartian.





Politik Warga (Citizen Politics)

Sebagai rakyat biasa yang hidup bermasyarakat,ruang keterlibatan yang paling efektif dalam segenap ruang politik,ekonomi,kebajikan,penjagaan alam sekitar dan lain-lain tugas yang dahulu hanya dibebankan kepada kerajaan lebih sinonim dengan nama 'politik warga' (citizen politics).Melalui keterlibatan dalam ruang sivik seperti ini,seorang muslim berpeluang untuk meningkatkan amal soleh mereka melalui kerangka politik.

Melalui ruang politik warga,semua pihak dalam kerangka masyarakat sivil,mempunyai peranan yang perlu dimainkan demi membangunkan masyarakat,negara dan alam sekitar.Ruang media yang serba pesat,terutamanya media baru dan jaringan sosial,dari satu sudut yang lain pula,memudahkan lagi seorang muslim untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan mereka melalui ruang keterlibatan politik.Kejumudan melihat amal soleh hanya pada aktiviti ritual,aktiviti di masjid,upacara-upacara keagaaman sahaja perlu diperbetulkan.

Aktiviti politik warga,seperti penglibatan rakyat dalam proses akauntabiliti juga merupakan amal soleh,malah mungkin lebih utama ganjarannya,kerana ia bukan untuk diri individu,malah untuk kesejahteraan manusia yang lebih ramai.Ringkasnya,keterlibatan politik warga juga merupakan amal soleh,sepertimana aktiviti masyarakat sivil yang juga amal soleh,malah usaha untuk memastikan good governance dalam negara juga merupakan amal soleh kerana ia bertujuan memastikan amanah yang diberikan rakyat dilaksanakan.

Mengenai keterlibatan seorang muslim dalam masyarakat,saya suka memetik satu hadis nabi:

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Seorang mukmin yang bercampur bergaul dengan masyarakat dan sabar atas kepedihan dan kepayahan yang ditimbulkan oleh masyarakatnya,adalah lebih besar ganjarannya daripada mukmin yang tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak sedar atas kepedihan,kepayahan dan kejahatan masyarakatnya." (HR Bukhari,Tirmizi & Ahmad)

Ibrah daripada hadis ini,maka sebagai seorang muslim terutamanya orang muda,perlu mengambil bahagian dalam membangunkan masyarakat,apatah lagi umat di tengah-tengah arus dunia dan fitnah yang sangat deras dan melemaskan ini.Cakna tentang isu semasa,mengambil tahu tentang jiran tetangga sekalipun non-muslims,mengambil berat tentang hal ehwal masjid dan ahli qaryah dan menawar diri dalam menyumbang tenaga untuk gerak kerja kemasyarakatan merupakan antara contoh untuk anak-anak muda terlibat dalam aktiviti politik kemasyarakatan.Selain itu,tanggungjawab amar maa'ruf nahi munkar juga merupakan satu kewajipan yang penting untuk dilaksanakan,apatah lagi dengan keadaan umat dan masyarakat yang tenat dibuai arus dunia.Anak muda harus berfungsi dan turun padang!

Sebelum saya mengakhiri penulisan saya,suka untuk saya memetik mutiara kata-kata dari Imam Hasan Al Banna tentang politik dan juga aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang lain.

Berkata Imam Al-Banna dalam Risalah (الاخوان تحت راية القرآن):

“Wahai Ikhwan Muslimun, bahkan wahai semua manusia! Kita bukanlah parti politik, sekalipun politik di atas kaedah Islam merupakan fikrah kita yang asli. Kita bukan pertubuhan kebajikan dan pembaharuan, sekalipun kerja kebajikan dan pembaharuan merupakan objektif terbesar kita. Kita bukan pasukan riadhah, sekalipun riadhah badan dan ruh merupakan sebahagian dari wasilah terpenting kita. Kita tidak sama seperti pertubuhan sedemikian kerana semua pertubuhan ini hanya untuk tujuan tertentu dan untuk tempoh tertentu. Mungkin pertubuhan ini lahir hanya di atas dasar mahu mewujudkan sebuah pertubuhan atau sekadar mahu meletakkan nama rasmi bagi pertubuhan tersebut.

Akan tetapi wahai manusia! Kami adalah fikrah dan aqidah, sistem dan manhaj. Kami tidak terbatas pada tempat tertentu atau bangsa tertentu atau sempadan geografi tertentu. Kami tidak akan berhenti pada batas tertentu melainkan setelah bumi dan segala isinya kembali kepada Allah s.w.t. kerana sistem ini adalah sistem Tuhan Rabbul Alamin dan manhaj ini adalah manhaj Rasul-Nya yang bersifat jujur lagi amanah”.

Justeru,politik adalah sebahagian daripada kehidupan kita.Tidak layak seseorang itu bergelar muslim andai kita dia tidak terlibat dalam aktiviti politik.Cuma seperti yang diperkatakan tadi,perlulah dibezakan antara keterlibatana politik dengan politik kepartian.
Apatah lagi sebagai seorang anak muda,perlulah cakna,turun padang dan berfungsi di dalam sebuah masyarakat.Begitu juga seseorang mahasiswa di mana-mana universiti yang tidak hanya pergi ke kelas,pergi ke kafe dan balik ke bilik membuat hal masing-masing,tanpa terlibat atau merancang apa-apa aktiviti yang bermanfaat kepada pelajar-pelajar di kampus.

Berhentilah dari menjadi robot
Mulalah menjadi pemuda yang berfungsi!

Islah,Tajdid,Taghyir!


*Tulisan ini saya banyak merujuk kepada karya Dr.Maszlee Malik berjudul 'Menuju Sejahtera Meraih Bahagia.'

Wednesday 21 January 2015

Kebebasan Bersuara,Charlie Habdo dan Kerangka Islam





Mutakhir ini,laungan suara-suara yang menuntut hak kebebasan bersuara dan hak asasi setiap individu semakin kuat kedengaran dan termuat di dada-dada akhbar,laman sosial dan penulisan.Suara-suara sumbang ini seringkali memberikan perlindungan atau 'back-up' kepada mana-mana pihak yang melakukan sesuatu jenayah dari segi percakapan,penulisan dan lukisan,dengan alasan mereka berhak atas HAK KEBEBASAN BERSUARA!

Benarkah sampai sedemikian rupa hak itu boleh digunakan? Atas alasan ini,kita dibenarkan menghina mana-mana pihak? Kita dibenarkan menipu,mengumpat,mengutuk,mengeluarkan kata-kata prejudis dan provokatif? Kita dibenarkan mencarut dan mengeluarkan kata-kata kesat? Masih layakkah perbuatan-perbuatan sedemikian dinamakan HAK? Atau lebih kepada EKSPLOITASI perkataan KEBEBASAN itu sendiri? Hakikatnya tiada lagi hak apabila seseorang menggunakan haknya untuk mencabul hak orang lain.Hakikatnya kalimah kebebasan itu dieksploitasi oleh ramai pihak untuk menyokong jenayah yang mereka lakukan dari sudut perkataan,lukisan dan penulisan.

Barat dan Hipokrasi

Melihat kepada isu Charlie Habdo,sebuah syarikat akhbar di Paris yang menghina baginda SAW dengan lukisan karikaturnya baru-baru ini,ia bukan lah suatu isu baru.Pada tahun 2005 yang lepas,syarikat akhbar yang berpusat di Denmark bernama Jyllands-Posten telah pun menimbulkan isu dengan lukisan karikatur yang menghina baginda SAW.Semuanya dipertahankan atas nama kebebasan bersuara.Mengaibkan agama lain,menghina agama lain adalah OK bagi mereka.

Ini dengan jelas menunjukkan kepada kita,disebalik tamadun barat yang sarat dengan kemajuan dan pembangunan,mereka sebenarnya tidak mempunyai prinsip dan asas yang jelas untuk dipegang.Prinsip dan asas mereka telah 'corrupted' dan rosak.Hal inilah yang telah melahirkan banyak dikalangan pemimpin dan masyarakat barat yang hipokrit.Apabila sebahagian manusia mengutuk dan mengecam Yahudi,mereka berkata itu ialah racisme.Penghinaan itu bersifat 'anti-semitic'.Tidak pula mereka mengatakan,itu ialah kebebasan bersuara dan orang berhak bersuara untuk mengutuk sesiapa pun termasuk yahudi.Tidak pula begitu.

Apa yang lebih melucukan ialah,pasca kejadian bangunan syarikat Charlie Habdo diserang oleh sekelompok individu,Perdana Menteri negara haram Israel,Benjamin Netanyahu turun padang ke Paris dan pergi ke tempat kejadian bagi menunjukkan solidariti dan kebersamaan beliau bersama sebahagian masyarakat Paris yang mengutuk serangan tersebut.Walhal jutaan nyawa yang tidak bersalah di Gaza dan Tebing Barat dibunuh oleh beliau dan kuncu-kuncunya dengan alasan menentang keganasan.Lihatlah betapa hipokritnya mereka ini!

Ya,kita mengutuk dan mengecam sama sekali tindakan akhbar tersebut yang menghina junjungan besar baginda SAW.Namun,tindakan yang agresif dan bersifat emosional tidak akan membawa keadaan ke arah yang lebih baik.Membunuh dan mencederakan pihak-pihak yang terbabit dalam penerbitan lukisan karikatur tersebut bukanlah solusi yang terbaik buat masa ini.Andai mereka memperjuangkan kebebasan bersuara,maka selayaknya hal ini kita perlu bersuara.Bersemuka dengan dialog,berhujah dengan hikmah dan jelas,menerangkan dengan tegas tentang adab dan akhlak kita beragama adalah beberapa cara daripada berpuluh kaedah lain yang mungkin lebih berkesan dalam menangani masalah ini.

Bagaimana Islam menerima hak kebebasan bersuara?

Islam sememangnya agama yang meraikan dialog dan hujah,pertanyaan dan soal jawab.Dewasa kini,kita melihat satu gelombang dan aura anak-anak muda yang sudah berani bertanyakan dalil dan hujah apabila ada suatu permasalahan agama atau hukum yang kurang jelas apabila para ustaz atau ustazah menyampaikan kuliah mahupun ceramah.

Ini satu arus yang baik sebenarnya.Masyarakat tidak lagi hanya mengamalkan sikap 'taqlid' dalam beragama,sebaliknya mengutamakan hujah dan dalil dalam setiap hal agama.Hal ini akan mengelakkan mereka daripada beramal dengan perkara-perkara yang tidak terdapat dalil atau hujah dalam agama,dan mengenalpasti sumber dalil dan kesohihan dalil yang dikemukakan kepada mereka.Bersikap kritis dan analisis akan melahirkan orang-orang muda yang dalam pemikirannya serta dapat membuat penilaian yang lebih tepat dan hebat.

Adalah menjadi suatu kedangkalan dalam agama apabila ada sesetengah pihak,bahkan gerakan islam itu sendiri yang melarang pengikut-pengikutnya untuk bertanyakan sesuatu yang mereka kurang jelas mengenai tindakan dan perjalanan gerakan tersebut yang dipimpin oleh ketua atau pemimpin atasan.Mereka berasalankan bahawa pemimpin atasan lebih mengetahui apa yang mereka lakukan dan lebih berpandangan jauh dalam tindakan.Maka pengikut-pengikut bawahan disuruh hanya mengikut sahaja atau taqlid buta tanpa perlu mempersoalkan tindakan tersebut.Ini adalah suatu doktrin yang bahaya dalam gerakan islam masa kini.Anak muda hari ini inginkan satu wacana baharu yang memberi peluang dan ruang untuk mereka bersoal jawab dan mengemukakan pandangan dalam sesuatu hal.

Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW itu sendiri yang meraikan pelbagai pertanyaan daripada para sahabat dan masyarakat sekeliling,sehinggalah arab badwi yang duduk di penghujung kampung.Baginda juga meraikan dialog dan soal jawab dengan golongan bukan islam seperti musyrikin Quraish,rombongan nasrani/kristian yang datang ke masjid untuk berjumpa nabi,begitu juga kaum Yahudi yang banyak berdialog dengan nabi berkenaan agama.Banyak hadis dan sirah yang menceritakan tentang hal ini.

Begitu juga para sahabat seperti Saidina Abu Bakar dan Umar al-Khattab.Ketika Abu bakar dilantik menjadi khalifah,khutbah pertama yang diucapkan olehnya ialah:

"Wahai manusia,sesungguhnya aku telah dilantik (menjadi pemimpin kamu) dan aku bukanlah yang terbaik di kalangan kamu.Jika aku berlaku adil,maka bantulah aku,dan jika aku tersilap laku,maka luruskan diriku.Kebenaran adalah amanah dan penipuan adalah pengkhianatan.Orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisiku sehingga aku menunaikan amanah kepadanya.Orang yang kuat di kalangan kamu pula adalah lemah di sisiku sehingga aku mengambil hak daripadanya.Dengan izin Allah,tidaklah sesuatu kaum itu meninggalkan jihad kecuali Allah akan memberikan kehinaan terhadap mereka,dan tidaklah berleluasa kemaksiatan pada sesuatu kaum kecuali Allah akan menimpakan bala ke atas mereka.Taatilah aku selagi mana aku taatkan Allah dan RasulNya,dan jika aku menderhakai Allah,maka tiada lagi ketaatan kepadaku." (al-Suyuthi,1997:1/27)

Begitu juga ketika Umar al-Khattab dilantik menjadi khalifah,beliau telah berkhutbah:

"Jika kamu nampak kebengkokan pada diriku,maka tegakkanlah ia." (al-Tabari,t.t:5/26.)


Lihatlah bagaimana Rasulullah dan para sahabat bersikap terbuka dalam menerima dan memberikan teguran,kritikan dan nasihat.Semua ini menunjukkan kepada kita bahawa Islam meraikan hak bersuara oleh setiap individu dengan adab dan akhlak yang tertentu.Tidak kira rakyat atau pemimpin,tua atau muda,kaya atau miskin,keturunan atau warna kulit,semua bebas untuk mengemukakan pandangan dan pendapat dengan batasannya yang tertentu serta penuh akhlak.


Batasan syariat dalam bersuara

Kebebasan bersuara dan mengemukakan pandangan bukanlah boleh dieksploitasi secara semberono oleh manusia bagi melakukan sesuatu yang melangkaui batasan.Syariat telah menggariskan batas-batas tertentu dalam bersuara dan bercakap.Lisan kita amat perlu dijaga dan digunakan dengan betul agar tidak terbabas dalam mengatakan sesuatu yang batil atau menghina.Seringkali dalam keadaan tertentu,diam itu lebih baik daripada berkata sesuatu yang dibimbangi akan membawa dosa dan persengketaan.Hal ini bertepatan dengan apa yang Rasulullah ajarkan kepada kita.

Rasulullah SAW telah bersabda:

"Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat,hendaklah dia berkata yang baik-baik ataupun berdiam diri sahaja." (HR Bukhari)

Begitu juga dalam hal penjagaan lisan,Rasulullah SAW telah bersabda:

"Wahai Muadh,berapa ramai orang yang dihumbankan wajah mereka (masuk) ke dalam neraka kerana hasil usaha lidah mereka?" (HR Tirmizi)

Kebebasan bersuara tidak mengizinkan kita untuk mengumpat,menghina,mengutuk mahupun melakukan apa-apa jenayah lisan yang boleh menyerang peribadi seseorang.

Hal ini selaras dengan apa yang Allah firmankan dalam surah al-Hujuraat ayat 11-12:

"Hai orang-orang yang beriman janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain (karena) boleh jadi mereka (yang diolok-olok) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olok) dan jangan pula wanita-wanita (mengolok-olok) wanita-wanita lain (karena) boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari wanita (yang mengolok-olok) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertobat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (11)

"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima tobat lagi Maha Penyayang." (12)

Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : لاَ تَحَاسَدُوا وَلاَ تَنَاجَشُوا وَلاَ تَبَاغَضُوا وَلاَ تَدَابَرُوا وَلاَ يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَكُوْنُوا عِبَادَ اللهِ إِخْوَاناً. الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يَخْذُلُهُ وَلاَ يَكْذِبُهُ وَلاَ يَحْقِرُهُ. التَّقْوَى هَهُنَا –وَيُشِيْرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ – بِحَسَبِ امْرِئٍ مِنَ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ، كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ

Terjemah hadith / ترجمة الحديث :

Dari Abu Hurairah radhiallahuanhu berkata: Rasulullah shallallahu`alaihi wa sallam bersabda: “Janganlah kalian saling dengki, saling menipu, saling marah dan saling memutuskan hubungan. Dan janganlah kalian menjual sesuatu yang telah dijual kepada orang lain. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lainnya, (dia) tidak menzaliminya dan mengabaikannya, tidak mendustakannya dan tidak menghinanya. Taqwa itu disini(seraya menunjuk dadanya sebanyak tiga kali). Cukuplah seorang muslim dikatakan buruk jika dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap muslim atas muslim yang lain; haram darahnya, hartanya dan kehormatannya.” (HR Muslim)
Sebenarnya banyak lagi dalil yang boleh dikemukakan mengenai perlunya kita bebas untuk bersuara dan mengemukakan pandangan.Begitu juga dalil-dalil yang menerangkan batasan-batasan syariat dalam kita bertutur kata dan bersuara,yang bersumberkan al-Quran,hadis dan amalan para sahabat.Sahabat-sahabat semua bolehlah membuat kajian dan pencarian sendiri tentang ini.Ini hanyalah nukilan ringkas dari saya,mudah-mudahan ia memberi sedikit pencerahan dan gambaran tentang isu semasa dan bagaimana reaksi dan tindakan kita sebagai seseorang yang bergelar muslim.
Akhir kata,maaf andai ada salah silap dalam penulisan ini.Silalah berikan teguran dan nasihat untuk memperbaiki lagi kelemahan dan kekurangan yang terdapat dalam perkongsian saya kali ini.Diharap amalan dan usaha kita ini dalam menyebarkan ilmu diterima Allah.
Wallahua'lam