Monday 8 July 2013

Ulangkaji Ramadhan


Setelah 11 bulan kita melalui bulan2 islam selepas ramadhan yang sebelum ini,pasti ada antara kita yang mungkin terlupa beberapa perkara penting tentang ramadhan,mungkin dari segi rukunnya,syaratnya,amalannya,bahkan mungkin definisi puasa itu sendiri di bulan ramadhan.Jadi,diharapkan post ini dapat memberi sedikit sebanyak ulangkaji dan manfaat kepada kita dalam menghadapi bulan ramadhan yang sangat hampir dengan kita sekarang ini.Pasti kita tidak sabar-sabar kan?! :D

Definisi

Puasa bermaksud menahan.Dalam istilah syarak ia bermaksud,'menahan diri dari segala perkara yang membatalkan puasa (makan,minum dan seks) di siang hari bermula daripada terbit fajar sadik sehingga terbenam matahari'.

Kategori

Secara dasarnya terdapat dua jenis puasa,iaitu puasa fardhu dan puasa sunat.Puasa fardhu pula mempunyai tiga jenis,iaitu puasa ramadhan,puasa kafarah,dan puasa nazar.

Sejarah

Kewajipan berpuasa di musim Ramadhan bermula pada tahun ke-2 selepas hijrah Nabi.Ia berdasarkan surah al-Baqarah ayat 183:

"Wahai mereka yang beriman,diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang sebelum kamu semoga kamu bertaqwa"

Taqwa

Sahabat Abdullah Ibn Mas'ud mengatakan bahawa taqwa yang sebenarnya ialah,'kamu taat tidak maksiat,kamu ingat tidak lupa,serta kamu syukur dan tidak kufur.

Imam Ibn Kathir berkata dalam Tafsir Al-Quran al-Azim,"Ketaqwaan dapat dicapai kerana puasa menyucikan diri dengan menyempitkan jalan syaitan sesuai dengan hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim bahawa Nabi bersabda:

"Wahai pemuda,barang siapa antara kamu sudah mampu untuk bernikah,maka hendaklah dia bernikah.Sesiapa yang belum mampu,maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu pengawal nafsu."

Syarat

Syarat sah puasa ialah:
1.Islam
2.Berakal atau Mumaiyiz (membezakan perkara yang bermanfaat atau sebaliknya),tidak sah puasa orang yang gila serta kanak2 yang belum mumaiyiz
3.Tidak mempunyai keuzuran yang menghalangnya daripada berpuasa seperti kedatangan haid atau nifas,pengsan atau gila sepanjang hari.

Mereka yang tidak berpuasa pada bulan ramadhan tanpa keuzuran,mereka telah berdosa besar.Rasulullah SAW bersabda:

"Barangsiapa berbuka tanpa uzur di bulan Ramadhan,maka dia tidak mampu menggantikan kerugian hasil daripada puasa yang ditinggalkan itu,walaupun dia berpuasa selama-lamanya selepas itu."
(Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)

Rukun

1.Niat untuk berpuasa.Niat hendaklah dilakukan pada setiap malam untuk setiap hari puasa yang dilakukan.Ini berdasarkan pendapat Imam Syafie,Abu Hanifah dan riwayat yang paling sahih daripada Imam Ahmad.Mengikut pendapat Imam Malik,cukup sekali sahaja niat untuk satu bulan Ramadhan dan hendaklah niat itu dilakukan pada malam pertama ramadhan.Dalam zain-Thalib (Kitab Imam Syafie),"Harus kita bertaqlid pada mazhab Maliki dalam perkara ini."

Justeru,amalkan niat seperti biasa di malam2 pada bulan ramadhan,dan amalkan niat pada malam pertama Ramadhan untuk berpuasa satu bulan ramadhan seperti yang dikatakan Imam Malik.Andai kita terlupa niat pada malam2 berikutnya,insyallah ia tidak menjadi masalah kerana kita telah pun berniat pada malam pertama ramadhan untuk berpuasa sebulan,kerana sudah dimaklumi bahawa berpuasa di bulan ramadhan bukan sekadar 4,5 atau 10 hari,tetapi pakejnya sebulan.

2.Menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa dari bermula terbit fajar sehingga tenggelam matahari.Antara perkara yang wajib dijauhi ialah yang berkaitan dengan pengambilan makanan dan minuman,serta memuaskan nafsu seks.

Tambahan daripada itu,perbuatan-perbuatan keji seperti maki hamun,mengumpat,menfitnah,dan apa yang seumpamanya hendaklah dijauhi.Nabi SAW bersabda:

"Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan keji tatkala berpuasa,maka Allah tidak berhajat dia meninggalkan makanan dan minumannya."  (Hadis riwayat Bukhari)

Berhubung dengan ini,Imam Al-Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin berkata,"Puasa mempunyai tiga tingkat:
1.Puasa umum
-merupakan peringkat yang terendah,iaitu puasa yang hanya menekankan kepentingan menjauhi perbuatan-perbuatan zahir yang boleh membatalkan puasa.

2.Puasa khusus
-merupakan tingkat yang kedua,iaitu puasa yang tidak hanya meninggalkan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa,tetapi menjauhkan diri daripada perkataan,pendengaran,penglihatan serta tindak-tanduk yang boleh mencacat pahala puasa.

3.Puasa golongan khusus daripada yang khusus
-Puasa ini dikenali juga dengan puasa hati kerana mereka yang berada di makam ini,banyak berzikir kepada Allah serta sentiasa mengawal hati mereka daripada dicerobohi cita-cita dan kehendak duniawi yang memperdayakan.

Sunat

Beberapa amalan sunat yang wajar untuk tidak dipinggirkan:

1.Memperbanyakkan doa.Nabi SAW bersabda:

"Tiga yang tidak ditolak doa mereka,iaitu orang yang berpuasa sehingga berbuka,pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi" (Diriwayatkan oleh Tirmizi,Ibn Majah,Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah.

Dalam hadis yang lain,Nabi SAW bersabda:

"Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa waktu berbukanya adalah waktu doa yang tidak ditolak"
(Diriwayatkan oleh Ibn Majah,bertaraf sahih)

2.Memperbanyakkan tilawah al-Quran,Abdullah ibn Abbas meriwayatkan,"Jibril menemui Nabi setiap malam di musim Ramadhan untuk bertadarus al-Quran.Ketika ditemui Jibril,Baginda lebih cepat mengerjakan kebaikan,lebih cepat daripada angin yang berhembus."

3.Memperbanyakkan sedekah.Anas bin Malik meriwayatkan,Nabi ditanya:

"Sedekah manakah yang lebih utama?" Baginda menjawab,"Sedekah di bulan Ramadhan."
(Hadis riwayat Tirmidzi)

4.Menunaikan solat terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita.Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah,maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu." (Hadis riwayat Bukhari)

Aishah berkata,"Rasulullah SAW tidak pernah menunaikan solat sama ada di bulan Ramadhan atau bulan lainnya melebihi dari 11 rakaat" (Riwayat Bukhari dan Muslim) (dalil 8 rakaat terawih)

Berapakah jumlah rakaat terawih? Menurut Imam Malik,amalan di Madinah ialah bersolat terawih 36 rakaat bersama 3 rakaat witir.Amalan di Mekah ialah 20 rakaat dan witir 3 rakaat (Fath al-Bari,4/235).Menurut mazhab Syafie,20 rakaat dengan 10 kali salam (al-Majmu' 4:32)

Hukum
Disertakan hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap dipersoalkan oleh orang ramai di musim puasa ini.

1.BEKAM

-Hadis pembatalan puasa dengan berbekam adalah berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Ibn Majah.Namun,Imam Nawawi mengatakan hukum yang terdapat dalam hadis ini telah batal (nasakh) berdasarkan hadis Bukhari daripada Ibn Abbas yang mengatakan Nabi berbekam ketika berpuasa.Hal ini disebabkan habis Ibn Abbas disabdakan Nabi pada waktu Haji Widak sekali gus terkemudian daripada hadis yang mengatakan batal puasa kerana berbekam.

2.MASUKKAN ALAT DALAM RONGGA UNTUK PEMERIKSAAN KESIHATAN



-Syeikh 'Atiyyah Saqr,mantan pengerusi Jawatankuasa Fatwa Al-Azhar mengatakan puasa pesakit tidak batal kerana ia bukan sesuatu yang mengenyangkan (www.islamonline.net).Pendapat yang sama diutarakan oleh Dr Md Uqlah dalam Ahkan as-Siyam.Namun,andai kata seseorang wanita atau lelaki memasukkan sesuatu ke dalam dubur atau kemaluannya dengan tujuan merangsang nafsu syahwat,perbuatan itu membatalkan puasanya.

3.MENGGUNAKAN PIL ELAK HAID


-Mengikut mantan pengerusi Majlis Syariah UK,Syeikh Syed Mutawalli ad-Darsh,kebanyakan ulama' berpendapat ia adalah diharuskan jika bertujuan untuk berpuasa dan melaksanakan ibadah di bulan Ramadhan.Dalam Fatawa Muasirat,Dr.Yusuf Qardhawi mengatakan,"Secara peribadi,saya lebih suka jika persoalan ini dikembalikan kepada fitrah (tanpa penggunaan ubat).Namun,jika terdapat ubat yang boleh digunakan oleh wanita untuk menangguhkan kedatangan haidnya,itu boleh dilakukan,dengan syarat hendaklah mereka yakin bahawa ubat yang diambil tidak memudharatkan kesihatan atau membahayakan.

4.HUKUM PENGAMBILAN DARAH


-Dalam Fiqhus Sunnah oleh Syed Sabiq,pengambilan darah di musim Ramadhan adalah diharuskan,dikiaskan dengan keharusan berbekam.Mengikut Syeikh Abdul Aziz Ibn Baz,pengambilan darah untuk pemeriksaan kesihatan adalah diharuskan dan tidak membatalkan puasa.(Fatawa Ramadhan,jil.2,hal.465,Fatwa No.400)

5.MENERIMA SUNTIKAN SERTA MEMASUKKAN UBAT KE DALAM RONGGA.



-Dalam Fiqhus Sunnah oleh Syed Sabiq,menerima suntikan adalah diharuskan pada bulan Ramadhan tidak kira sama ada melalui otot (intra-muscular),pembuluh darah (intra-venous),kulit (subcutaneous) dan yang seumpamanya disebabkan jalan kemasukan ubat itu tidak melalui jalan biasa,iaitu melalui mulut.Dalam Fatawa Muasirat,Dr Yusuf Qardhawi mengatakan,"Sudah jelas bagi kita bahawa suntikan dengan pelbagai cara serta penggunaan ubat sisip (suppository),semuanya bukan makan dan minum.Maksud ketetapan syariat mengenai puasa amat jelas,iaitu tidak makan,tidak minum dan meninggalkan nafsu syahwat.Justeru,tidak perlu menyusahkan pengertian puasa dengan menokok tambah perkara-perkara yang Allah sendiri tidak nyatakan.Namun,Syeikh Ibn Jibreen memberi amaran,jika suntikan itu mengandungi bahan-bahan makanan yang menyegarkan pesakit (nutritional),maka puasanya dihukum batal (Fatawa Ramadhan,jil.2,hal.485,Fatwa No.433)

6.PENGGUNAAN ALAT SEDUT GAS UNTUK ASMA


-Terdapat perbezaan pendapat yang ketara di kalangan ulama' berkaitan persoalan ini.Dr.Muzammil Siddiqi,mantan presiden ISNA serta ahli jawatankuasa Majlis Fikah Amerika Utara,berpendapat ia tidak membatalkan puasa kerana ia bukan minuman atau makanan yang ditelan,sebaliknya hanya merupakan wap.Pendapat ini selari dengan pendapat Syeikh Abdul Aziz Ibn Baz yang mengatakan penggunaan ubat sedut adalah diharuskan di saat keperluan.Fatwa-fatwa ini dilaporkan di www.islamonline.net.

p/s:harus diingatkan bahawa dalam soal hukum-hukum di atas,pasti terdapat perbezaan pendapat dan khilaf antara ulama',terutama di Malaysia.Namun,pendapat-pendapat yang diutarakan dan dalil yang dibentangkan di atas,semuanya adalah benar,dan bertujuan untuk membolehkan kita untuk berpuasa dengan sempurna dan agar tidak menghadapi sebarang masalah,Insyallah :)

wallahu a'lam



1 comment: