Thursday 29 January 2015

Antara Keterlibatan Politik dan Parti



Seringkali apabila berbicara tentang politik,perkara yang pertama sekali terlintas di fikiran kebanyakan masyarakat kita hari ini ialah bendera parti,pilihanraya,demokrasi,aktiviti mengundi,kempen-kempen dan ceramah parti tertentu dan sewaktu dengannya.Dalam pemahaman konvensional mengenai keterlibatan politik ataupun penyertaan politik,perbincangan majoriti masyarakat kita hanyalah berkisar mengenai ruang rakyat untuk bersuara,mempengaruhi polisi pihak berkuasa,keterlibatan rakyat dalam memilih wakil mereka untuk memerintah negara dan juga kemampuan rakyat untuk melakukan akauntabiliti terhadap wakil-wakil yang telah mereka pilih.

Sebenarnya,pemahaman keterlibatan politik membawa maksud yang lebih luas.Keterlibatan politik tidak boleh disempitkan hanya pada aktiviti mengundi,berkempen dan menghadiri ceramah-ceramah politik sahaja.Keterlibatan politik mempunyai kerangkanya yang lebih menyeluruh lagi komprehensif.Di bawah kerangka tauhid,segala penyertaan politik untuk membangunkan masyarakat dan negara juga diiktiraf sebagai amal soleh.


Politik sebahagian dari hidup kita

Sebelum kita pergi lebih jauh,cuba kita tanya diri kita terlebih dahulu..

Apakah itu politik? Adakah pemahaman aku terhadap politik selama ini tepat? Perlukah aku ambil tahu dan terlibat dengan politik dalam kehidupan aku?

Politik secara literalnya bermaksud ilmu mengenai cara mengurus tadbir manusia,masyarakat dan negara.Seseorang yang terlibat dalam gerak kerja bermasyarakat,mengurus hal ehwal masyarakat tetangga,melakukan kerja-kerja kebajikan,melakukan amar maa'ruf nahi munkar,menyatukan masyarakat di sesebuah kawasan tidak mengira bangsa dan keturunan,bukankah itu termasuk dalam mengurus tadbir manusia dan masyarakat? Bukankah orang itu telah terlibat dalam gerak kerja politik?

Ya.

Seandainya kita seorang muslim,maka tidak mungkin untuk kita memisahkan kehidupan kita daripada keterlibatan politik.

Saya seringkali kedengaran sejak kebelakangan ini suara-suara sumbang yang menyatakan politik dan islam tidak boleh disatukan.Politik mesti dipisahkan daripada agama untuk menjaga agama itu sendiri.Saya tidak pelik dan hairan kerana suatu ketika dulu saya juga mempunyai ideologi dan fikrah sedemikian.Disebabkan apabila melihat ramai orang-orang yang berkepentingan di dalam parti-parti tertentu menggunakan nas-nas mahupun dalil-dalil agama untuk mempertahankan tindakan mereka,seolah-olah apabila mereke mula menggunakan dalil-dalil agama,mereka tidak boleh dikritik dan disangkal lagi!

Maka mulalah pihak di sebelah sini melontarkan hujah agama dan dalil-dalil untuk menjustifikasikan tindakan mereka.Tidak terhenti di situ,pihak di sebelah sana pula dengan ustaz dan ulama' mereka tersendiri pula ibarat telah bersiap sedia dengan senjata-senjata dalil dan nas bagi membantah tindakan pihak lawan mereka dan mematahkan hujah mereka.Agama menjadi murah dan rosak apabila pihak-pihak sebegini menggunakan ia sebagai senjata politik.

Lewat suasana sebegini,maka lahir anak-anak muda yang kecewa dengan dunia politik yang memperalatkan agama dan saling menjatuhkan antara satu sama lain.Maka mereka membuat konklusi,bahawa POLITIK DAN AGAMA TIDAK BOLEH DISATUKAN!


Tanggungjawab Seorang Muslim

Berbalik kepada hakikat penciptaan seorang insan,apakah tujuan kita diciptakan di muka bumi ini?
Tidak lain dan tidak bukan ialah untuk beribadah kepada Allah (adz-Dzariyat:56) dan menjadi seorang khalifah untuk mentadbir muka bumi berlandaskan syariat.(al-Baqarah:30).

Dalam erti kata mudah,seorang insan diciptakan untuk IBADAH dan IMARAH,
Ibadah dalam erti kata kita perlu mengabdikan diri hanya kepada Allah
Imarah dalam erti kata kita perlu memakmurkan dan membangunkan dunia serta mengelakkan kemusnahan terhadapnya.Atas misi inilah,menurut Islam,para Nabi dan Rasul diutuskan kepada manusia agar sentiasa diperingatkan mengenai tugas mereka.

Seorang muslim secara semulajadinya merupakan seorang warga politik.Mereka dilahirkan untuk menjayakan misi keadilan,keamanan dan juga mengislahkan muka bumi ini.Tugas ini bukanlah satu pilihan,tetapi satu kewajipan demi menjayakan konserp 'Khalifah' melalui dua tugas utama,iaitu ibadah dan imarah.

Maka,dalam dalil-dalil ditekankan konsep penegakan keadilan,penentangan kezaliman dan penzalim,pengorbanan,keadilan ekonomi,memperjuangkan golongan yang ditindas,menegur dan meruntuhkan tirani,memberikan hak yang adil dan saksama,menyebarluaskan kebaikan,menghindari kejahatan dan kemusnahan dan pelbagai mekanisme yang membawa kepada maksud kesempurnaan hidup manusia.Ringkasnya,hubungan seorang individu Muslim dengan Tuhannya adalah bergantung kepada sejauhmana hubungannya dengan makhluk lain juga.

Politik dan keterlibatan politik merupakan satu kewajipan dalam kehidupan seorang muslim.Tidak ada istilah non-politik dalam kamus hidup seorang muslim.Sepertimana berbuat baik kepada ibu bapa itu wajib,membantu orang fakir itu wajib,menjaga hak jiran tetangga itu wajib,menjauhi riba itu wajib,keterlibatan politik juga merupakan satu kewajipan.Namun,perlu dibezakan antara keterlibatan politik dengan sikap partisan ataupun politik kepartian.





Politik Warga (Citizen Politics)

Sebagai rakyat biasa yang hidup bermasyarakat,ruang keterlibatan yang paling efektif dalam segenap ruang politik,ekonomi,kebajikan,penjagaan alam sekitar dan lain-lain tugas yang dahulu hanya dibebankan kepada kerajaan lebih sinonim dengan nama 'politik warga' (citizen politics).Melalui keterlibatan dalam ruang sivik seperti ini,seorang muslim berpeluang untuk meningkatkan amal soleh mereka melalui kerangka politik.

Melalui ruang politik warga,semua pihak dalam kerangka masyarakat sivil,mempunyai peranan yang perlu dimainkan demi membangunkan masyarakat,negara dan alam sekitar.Ruang media yang serba pesat,terutamanya media baru dan jaringan sosial,dari satu sudut yang lain pula,memudahkan lagi seorang muslim untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan mereka melalui ruang keterlibatan politik.Kejumudan melihat amal soleh hanya pada aktiviti ritual,aktiviti di masjid,upacara-upacara keagaaman sahaja perlu diperbetulkan.

Aktiviti politik warga,seperti penglibatan rakyat dalam proses akauntabiliti juga merupakan amal soleh,malah mungkin lebih utama ganjarannya,kerana ia bukan untuk diri individu,malah untuk kesejahteraan manusia yang lebih ramai.Ringkasnya,keterlibatan politik warga juga merupakan amal soleh,sepertimana aktiviti masyarakat sivil yang juga amal soleh,malah usaha untuk memastikan good governance dalam negara juga merupakan amal soleh kerana ia bertujuan memastikan amanah yang diberikan rakyat dilaksanakan.

Mengenai keterlibatan seorang muslim dalam masyarakat,saya suka memetik satu hadis nabi:

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Seorang mukmin yang bercampur bergaul dengan masyarakat dan sabar atas kepedihan dan kepayahan yang ditimbulkan oleh masyarakatnya,adalah lebih besar ganjarannya daripada mukmin yang tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak sedar atas kepedihan,kepayahan dan kejahatan masyarakatnya." (HR Bukhari,Tirmizi & Ahmad)

Ibrah daripada hadis ini,maka sebagai seorang muslim terutamanya orang muda,perlu mengambil bahagian dalam membangunkan masyarakat,apatah lagi umat di tengah-tengah arus dunia dan fitnah yang sangat deras dan melemaskan ini.Cakna tentang isu semasa,mengambil tahu tentang jiran tetangga sekalipun non-muslims,mengambil berat tentang hal ehwal masjid dan ahli qaryah dan menawar diri dalam menyumbang tenaga untuk gerak kerja kemasyarakatan merupakan antara contoh untuk anak-anak muda terlibat dalam aktiviti politik kemasyarakatan.Selain itu,tanggungjawab amar maa'ruf nahi munkar juga merupakan satu kewajipan yang penting untuk dilaksanakan,apatah lagi dengan keadaan umat dan masyarakat yang tenat dibuai arus dunia.Anak muda harus berfungsi dan turun padang!

Sebelum saya mengakhiri penulisan saya,suka untuk saya memetik mutiara kata-kata dari Imam Hasan Al Banna tentang politik dan juga aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang lain.

Berkata Imam Al-Banna dalam Risalah (الاخوان تحت راية القرآن):

“Wahai Ikhwan Muslimun, bahkan wahai semua manusia! Kita bukanlah parti politik, sekalipun politik di atas kaedah Islam merupakan fikrah kita yang asli. Kita bukan pertubuhan kebajikan dan pembaharuan, sekalipun kerja kebajikan dan pembaharuan merupakan objektif terbesar kita. Kita bukan pasukan riadhah, sekalipun riadhah badan dan ruh merupakan sebahagian dari wasilah terpenting kita. Kita tidak sama seperti pertubuhan sedemikian kerana semua pertubuhan ini hanya untuk tujuan tertentu dan untuk tempoh tertentu. Mungkin pertubuhan ini lahir hanya di atas dasar mahu mewujudkan sebuah pertubuhan atau sekadar mahu meletakkan nama rasmi bagi pertubuhan tersebut.

Akan tetapi wahai manusia! Kami adalah fikrah dan aqidah, sistem dan manhaj. Kami tidak terbatas pada tempat tertentu atau bangsa tertentu atau sempadan geografi tertentu. Kami tidak akan berhenti pada batas tertentu melainkan setelah bumi dan segala isinya kembali kepada Allah s.w.t. kerana sistem ini adalah sistem Tuhan Rabbul Alamin dan manhaj ini adalah manhaj Rasul-Nya yang bersifat jujur lagi amanah”.

Justeru,politik adalah sebahagian daripada kehidupan kita.Tidak layak seseorang itu bergelar muslim andai kita dia tidak terlibat dalam aktiviti politik.Cuma seperti yang diperkatakan tadi,perlulah dibezakan antara keterlibatana politik dengan politik kepartian.
Apatah lagi sebagai seorang anak muda,perlulah cakna,turun padang dan berfungsi di dalam sebuah masyarakat.Begitu juga seseorang mahasiswa di mana-mana universiti yang tidak hanya pergi ke kelas,pergi ke kafe dan balik ke bilik membuat hal masing-masing,tanpa terlibat atau merancang apa-apa aktiviti yang bermanfaat kepada pelajar-pelajar di kampus.

Berhentilah dari menjadi robot
Mulalah menjadi pemuda yang berfungsi!

Islah,Tajdid,Taghyir!


*Tulisan ini saya banyak merujuk kepada karya Dr.Maszlee Malik berjudul 'Menuju Sejahtera Meraih Bahagia.'

No comments:

Post a Comment